Tuesday, July 12, 2011
Monday, July 11, 2011
anakandaku di Russia, 2011, June, 25 depart
sesungguhnya bumi ini luas apabila kita meletakkan takdir, rezeki dan ajal maut kita di tangan Allah.
sesungguhnya bumi ini amat sempit apabila semuanya kita letakkan ditangan kita.
kita amat kerdil dan bercita cita menakluki dunia. begitulah terjadinya makhluk Allah bernama Firaun, Haman, Hitler, dan sebagainya.
Mereka merasakan perancangan mereka hebat. tetapi perancangan Allah Maha hebat.
Ingatlah anak ku, bahwasanya darinya kita datang dan kepadanya kita kembali. maka persiapkanlah diri kita untuk kembali. Kita mungkin menjadi manusia teragong, tetapi siapa kah kita di sisiNya.
KAU KIRA KAMI TAK SAYANG MALAYSIA?
KAU KIRA KAMI TAK SAYANG MALAYSIA?
Kau kira bumi Malaysia ini untuk orang melayu saja?
Kau kira yang membayar cukai hanya orang BN saja?
Kau kira BN tak boleh ditegur dan ditukar?
Kau kira BN itu raja?
Kau kira kuasa itu hak BN saja?
Kau kira pendemo tidak sayangkan negara?
Kau kira rakyat ini bodoh kiranya BN tidak kami puja?
Kau kira rakyat tengok TV tiga saja?
Kau kira rakyat tidak tahu penipuan BN dan segala barua?
Kau kira rakyat tunduk dengan janji dan ugutam di media?
Kau kira hidung rakyat boleh dicucuk cucuk dan dinoda?
Kau kira kami tak sayang Malaysia?
Inilah Negara tumpah darah ku,
Inilah Negara tumpah darah anak dan cucu ku
Dan rakyatku
Takkan kami redha BN bermaharajalela!!
Oleh : nathrat 9 Julai 2011
PUISI PELUDAH WARNA oleh : A. SAMAD SAID
PELUDAH WARNA
Kuasa gusar
Kini mengelegak murka
Warna kuning
disiyhtihar racun terbisa
diragutnya baju-T
segeram tenaga
dan diumum
itulah busana bahaya
Tapi kita jahit semula
Perca kain
Menjadikannya panji
terindah dan tulin
Warna kuning
yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan
damai ke dalam Qalbu
Kini cahaya mentari
mungkin diramas
dan sinar kuning nya
juga mungkin dicantas
memanglah mereka kini
peludah warna
sedang menghimpun
lendir kahak sebanyaknya
kerana nikmat
amat lama berkuasa
kuasa pun seolah
menjadi hartanya
puisi oleh : A. Samad Said
JEM DI SELURUH IBU NEGARA AKIBAT "BERSIH" ??
keadaan jam di seluruh ibu negara adalah disebabkan oleh siapa? polis di malaysia membuat roadblock kerana tunduk kepada arahan menteri BN. kalau di thailand dan indon mahupun di europe polis tak terlibat nak buat roadblock. rakyat free nak pergi berhimpun. ni berhimpun esok tapi roadblock hari ni ni apahal. kalau kita perintah putrajaya kita tak akan suruh polis buat roadblock. kalau BN nak berhimpun berhimpunlah.
maka sabarlah kawan kawan ku. anggaplah ini sumbangan anda kepada angin perubahan politik kita. kalau tak tahan juga ubah la haluan anda atau ubah waktu laluan anda. kejAyaan perlukan pengorbanan
masa kini negara dengan kadar pembangunan tertinggi, bangunan tertinggi didunia dan keretapi terlaju di dunia adalah negara komunis China. negara dengan teknologi persenjataan, aerospace termaju didunia adalah negara komunis Rusia. itu adalah negara komunis dan bukan negara pengganas komunis. kerajaan malaysia sendiri telah menghantar angkasawan ke rusia dan pelajar pelajar ke rusia. salah kah? Bacalah asal usul kemunculan Komunism, perjuangan Karl Marx, Mao Tse Tung, hatta Chin Peng dan Parti Komunis Malaya. dah faham baru komen. jangan Komen melulu.
Kita mesti membezakan kerajaan dan parti. Mana pun parti memerintah, kerajaan tetap wujud. Yg kita nak ialah mengubah parti memerintah negara. Kalau kita mengubah kerajaan bermakna kita mengubah dari contohnya kerajaan raja berpelembagaan kepada kerajaan republik atau kerajaan tentera. Kenapa kita nak ubah parti yg memerintah negara? Kerana parti tersebut tidak memerintah dgn betul.
Friday, June 10, 2011
PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26) Bertarikh 8 Jun 1994
PERDANA MENTERI MALAYSIA
YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
Y.A.B. Tuan Haji,
PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN
Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)
Bertarikh 8 Jun 1994
Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum jenayah.
1. Jalan yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kepada kaedah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu "tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum)." Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.
2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya di zaman itu.
3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman. Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam.
4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan aakan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan berikut:
(i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran. Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan.
Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam.
(ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan.
Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas.
Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan aia adalah satu kezaliman yang dahsyat.
5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolok sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang lain daripada Islam dan kepentingannya .
6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.
7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadapKerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
15 Julai 1994
Monday, February 16, 2009
KEMELUT POLITIK DI PERAK AKIBAT KELEMAHAN PKR DAN SPR
Dalam mengkaji kemelut politik di perak, kita patut berlapang dada dan berfikiran terbuka dan tidak sentimen terhadap parti yang kita naungi, iaitu pkr. Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak terbentuk dengan majoriti tipis iaitu 31 kerusi berbanding 28 kerusi oleh BN. Pada masa itu Tuanku Sultan tidak punya pilihan selain mengumumkan PR sebagai Kerajaan baru dengan syarat seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam dilantik sebagai MB. Walaupun DAP mendapat 18 kerusi dan PKR mendapat 12 kerusi, sesatunya calon dari PAS dilantik menjadi MB. Tuanku Sultan sendiri tidak yakin dengan calon calon Melayu di kalangan PKR. Apakah pada masa itu pimpinan PKR sendiri tidak dapat melihat sendiri kualiti yang ada dikalangan ADUN ADUN mereka?
Dalam membincangkan kualiti yang ada pada ahli ahli dan ADUN PKR, kita perlu perhatikan kembali pertama, latar belakang penubuhan PKR dan kedua faktor ikatan disiplin dalam PKR.
PKR tidak dinafikan menjadi satu wadah perjuangan parti era baru dengan corak baru yang berteraskan keadilan. Ini merangkumi keadilan untuk semua kaum, semua agama, semua taraf sosioekonomi dan sebagainya.
Berbeza dengan lain lain parti yang ditubuhkan jauh lebih lama sejak zaman kemerdekaan, seperti UMNO, PAS, MIC, DAP dan MIC dan sebagainya, mereka ini mempunyai faktor kesatuan yang lebih jelas berdasarkan bangsa seperti UMNO, MIC dan MCA dan juga agama seperti PAS. DAP juga walaupun memperjuangkan demokrasi, dimonopoli oleh kaum Cina dan lebih fokus dengan identiti Cina nya. PKR yang berteraskan keadilan tidak mempunyai faktor kesatuan sekukuh parti parti di atas. Oleh sebab itu PKR harus mencari faktor kesatuan yang lebih kuat, atau pun setidak tidaknya memperkuatkan faktor keadilan yang diperjuangkannya.
Keadilan adalah satu perkara yang sangat subjektif dan berbeza mengikut tafsiran masing masing. Rasullullah SAW sendiri mengaku tidak dapat bersikap adil kepada isteri isterinya dan telah memohon maaf kepada isteri isteri baginda tatkala baginda hampir wafat walaupun kita wajib percaya bahawa bagindalah seadil adil insan di dunia ini.
Keduanya, bila membicarakan faktor disiplin didalam parti, disiplin di kalangan ahli mahupun ADUN PKR adalah sangat lemah, kerana PKR tidak mempunyai satu wadah tarbiah yang jelas dan tetap.
PAS umpamanya mempunyai usrah yang dijalankan diperingkat cawangan. Ini dapat meningkatkan ukhwah setiakawan dan jatidiri sesama ahli. Sesekali akan dijemput ustaz atau ustazah yang akan membantu memantapkan lagi pengetahuan agama dan keimanan kepada allah yang menjadi tunggak kepada kesetiaan perjuangan. Walaupun ada juga terdapat anggota PAS yang melompat parti sebelum ini, rata rata perkara ini amat sedikit dan amat mustahil.
UMNO pula umpamanya ditarbiah dengan wang ringgit dan juga program-program bina insan dan sebagainya yang dijalankan oleh gerak gempurnya yang banyak menggunakan duit. Rata-ratanya dalam UMNO kalau ada wang semuanya boleh berlaku. Kalau duit tak turun poster yang dah dipasang pun boleh diturunkan. Business is business.
PKR tidak mempunyai kedua dua ciri ciri PAS dan UMNO tersebut. Maka jatidiri dan setia kawan di dalam PKR boleh dipersoalkan. Tambah lagi kebanyakkan ahli PKR asalnya dari UMNO. Didalam UMNO senang nak dapat duit sebab ada saja projek yang duwujudkan untuk membantu cawangan dan ketua ketua. Berebut rebut orang nak jadi ketua cawangan. Tetapi di dalam PKR, jadi ketua bahagian pun tak loaded. Kena keluar duit sendiri ada lah. Siapa tak penat kalau dah memerintah macam ADUN Jamaludin tu tapi tak boleh merasa hasil hasil pemerintah, termasuklah perempuan perempuan yang ditafsirkan sebagai rezeki yang mendatang. Dia pula tak tahu itu adalah umpan UMNO bagi memancing di negeri negeri yang perbezaan kerusi adalah kecil. Disebabkan iman yang kerdil maka termakanlah umpan itu dan apabila terperangkap kenalah dia ikut apa saja kehendak si penakluk.
Tujuan saya menulis ini bukan lah bertujuan menghentam PKR yang saya sendiri anggotai sejak dari penubuhannya pada tahun 1998. Saya melihat sejak DSAI keluar dari tahanan pada 2007, tumpuan kepada saranan DSAI sendiri semasa beliau di dalam tahanan telah dilupai dan beliau memacu laju hingga pengikutnya telah keciciran: iaitu menambahkan ahli dan menambahkan cawangan. Penambahan ahli telah menjadi faktor semulajadi sejak PR memenangi 5 negeri di dalam PRU12 lalu dan bukan melalui kempen mendapatkan ahli yang tulin yang dijalankan oleh kepimpinan parti. Penambahan keahlian yang mendadak memerlukan MT memikirkan kaedah menapis dan memperkayakan jatidiri ahli dengan lebih berkesan.
Jika dulu semasa PRU12, calon calon ADUN dan calon AP ditangkap muat saja tanpa ada prosidur pemilihan yang ketat, hingga DSAI sendiri tersilap memilih pembantu bernama Saiful, PKR patut menggunakan kelebihan mempunyai tokoh agama yang disegani kawan dan lawan iaitu Ustaz Badrulamin sebagai "tuan guru"di kalangan ahli PKR yang beragama Islam. Tokoh tokoh lain seperti Azmin Ali, dan Shaari Sungip juga patut digunakan selain boleh meminta bantuan dari sahabat di parti PAS. Sayap sayap Melayu dan Islam patut di kembangkan di peringkat akar umbi dan cawangan supaya proses mentarbiah ahli yang beragama Islam terus berjalan.
Ini bukan saja akan memastikan jatidiri Melayu dan Islam dapat dipertahankan oleh semua ahli, malah dapat menjadi asas kepada keutuhan setiakawan sesama ahli.
Manakala bangsa lain di dalam parti seperti Bangsa Cina dan India juga patut dapat mengusahakan program tarbiah dan seumpamanya supaya ahli ahli Parti yang berbangsa India dan Cina juga dapat mengemaskan jatidiri masing masing dan menguatkan ikatan setiakawan kepada parti.
Jika jatidiri ahli dan calon dapat dikukuhkan, kita akan dapat memastikan semua ahli, ADUN dan juga ahli Majlis yang menduduki kerusi Majlis Majlis Perbandaran dan Daerah (yang kini rata rata rapuh) dapat mempertahankan jatidiri dan disiplin yang tinggi.
Ramai kalangan ahli ahli Yang Berhormat samada ADUN, AP mahupun Ahli Majlis tidak dapat memainkan peranan masing-masing kerana kurang pendedahan tentang selok belok perjalanan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Jawatan jawatan kuasa di peringkat Negeri, Mesyuarat Ahli Majlis, dan kuasa serta bidang kuasa Jawatankuasa jawatankuasa Majlis Perbandaran. Program-program tarbiah dan usrah begini akan dapat memperkayakan ahli dengan ilmu duniawi mahupun ilmu akhirat yang bakal memperkkuatkan jati diri dan setiakawan ahli.
Setelah memenangi 4 negeri baru di bawah Pakatan Rakyat, ahli ahli parti kini lebih tertumpu untuk memenangi Pilihanraya Umum akan datang tanpa menumpukan kepada usaha untuk mengisi kemenangan yang insyaallah akan menyusul. Seharusnya kita perlu menitik beratkan juga usaha meningkatkan pengetahuan kita dengan proses prosoes pentadbiran dan perjalanan kerajaan negeri dan tempatan supaya kita dapat lebih bersedia di dalam menempuh Pilihanraya Umum akan datang. Tambah tambah lagi bila DSAI meniup semangat ahli ahli bahawa akan mengambilalih Kerajaan Persekutuan pada tahun 2009 ini.
Semoga Kemelut Perak 2009 ini menjadi iktibar kepada kita semua.