Kelab Taat Suami. Apa Pandangan Anda?
RAWANG, 4 Jun 11: Kesediaan isteri untuk patuh dan memenuhi keperluan seks suami masing-masing akan membantu mengelak mereka daripada berlaku curang ataupun mencari pelacur .
Mesej ini yang hendak disampaikan oleh Kelab Taat Suami, yang dilancarkan hari ini untuk mengatasi masalah sosial di seluruh dunia.
Ia dilancarkan di Kelab Golf Perangsang Templer di sini dan bercadang memperluaskan sayapnya ke negara-negara lain seperti Indonesia pada 19 Jun ini.
Malah ia juga bercadang memperluaskan cawangan ke negara-negara Eropah, Britain, Perancis, Itali dan Jerman. Kelab itu diperkenalkan oleh bekas pengikut kumpulan Al-Arqam terbuka kepada isteri-isteri semua kaum dan tidak kira kepercayaan. Ia mendakwa mempunyai kira-kira 1,000 ahli buat masa sekarang dengan 200 daripadanya di Johor sejak dilancarkan di negeri itu 1 Mei lalu. Baki 800 ahli datang dari seluruh negara.
Menurut kelab itu, 50 peratus ahlinya merupakan mereka daripada kalangan kelas atasan dan minda terbuka serta golongan intelek. Ketika ditemui wartawan, naib presiden kelab itu, Dr Rohaya Mohamad (gambar, kanan) berkata, kaum wanita seringkali lupa bahawa sebagai “isteri yang baik” mereka juga perlu memenuhi keperluan suami di bilik tidur.
“Jika anda melihat di dunia sekarang, wanita dilayan sebagai objek seks ... dalam majalah, TV ... mengapa tidak mereka jadi objek seks kepada suami mereka? Ia adalah sah dan diharuskan oleh Tuhan.
“Seorang isteri yang baik adalah pekerja seks yang baik bagi suami mereka,” katanya lagi.
Pemimpin wanita sayap kanan Global Ikhwan Sdn Bhd itu juga berkata, selain menggalakkan wanita melayani suami, kelab itu juga akan mengadakan aktiviti seperti sesi kaunseling kepada ahlinya.
“Kita buka ahli kepada semua orang tidak kira bangsa dan agama. Kita akan adakan kaunseling kepada isteri, suami, dan kedua-duanya sekali,” katanya.
Selain itu, Rohaya juga menerangkan kelab itu ditubuhkan bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak seks suami, tetapi memenuhi tuntutan agama. Katanya, seorang isteri yang solehah perlu memenuhi empat kriteria yang digariskan dalam Islam iaitu sembahyang lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan diri dan taat kepada suami.
“Kenapa kita tidak mahu buat apa yang disuruh oleh Tuhan? Taat kepada suami. Untuk menjadi isteri yang baik perlu memenuhi keempat-empat kriteria ini. Malah dalam hadis Nabi sendiri ada menyebut, ‘tunaikanlah walau di belakang unta’. Ini apa yang disuruh oleh Allah dan Nabi, jadi kita ikut,” katanya.
Ditanya mengenai jika isteri didera, adakah isteri masih lagi perlu mentaati suami, Rohaya berkata, seorang isteri perlu taat kepada suaminya dan juga membenarkan suaminya berpoligami kerana itu merupakan fitrah seorang suami.
“Seorang isteri perlu menjadi seorang isteri yang baik sampai bila-bila. Jika apa yang terjadi padanya sebagai contoh didera, mereka perlu memikirkan bahawa ini adalah ujian dari Allah kepada mereka.
“Setiap apa yang jadi ada hikmahnya. Seperti kisah Firaun dan Asiah. Firaun suami kepada Asiah dan dia mengaku dia itu Tuhan. Tetapi, akhirnya Asiah masuk ke syurga,” katanya.
Rohaya juga berkata, apa yang kelab ini cuba sampaikan adalah sesuatu yang telah dipraktikkan oleh ahli-ahli Global Ikhwan sendiri. Beliau juga memberitahu, walaupun kebanyakan ahlinya berpoligami tetapi peratusan penceraian di kalangan ahli itu adalah sedikit.
Malah, ibu kepada lapan orang anak dan isteri ketiga daripada empat itu juga berkata, 30 peratus daripada ahli Kelab Taat Suami juga merupakan pasangan berpoligami dan hampir 50 peratus ahlinya juga datang daripada kalangan kelas atasan dan minda terbuka serta golongan intelek.
Sementara itu, salah seorang daripada 10 pasangan pengantin itu, Hawari Hamid, 45, yang berkahwin untuk kali kedua bersama pasangannya Nurul Asyikin Sanusi, 22, berkata, beliau menyambut baik kelab tersebut demi keharmonian rumah tangga.
Selain itu ketika ditanya adakah dengan isterinya membenarkan beliau berkahwin dua merupakan salah satu tindakan ‘taat’ seorang isteri, beliau yang juga pengurus syarikat berkata, “dalam Islam dibenarkan suami berkahwin sehingga empat orang.”
“Ini juga salah satu cara untuk isteri tunjuk taat dengan membenarkan suami berkahwin lain. Isteri saya membenarkannya dan Insya-Allah dia seorang yang taat. Dia juga yang membuat urusan perkahwinan saya ini,” katanya.
Hawari yang sudah 20 tahun mendirikan rumah tangag dan hanya dikurniakan seorang anak dengan isteri pertamanya juga berkata, tujuan beliau berkahwin adalah ingin menambah zuriat selain mengikut sunah Nabi. (Sumber The Malaysian Insider)
Komen Blog Ibnu Hasyim: Difahamkan, mereka adalah bekas pengikut Al-Arqam yang melancarkan kelab mereka. Apa pandangan anda?