Monday, February 16, 2009

KEMELUT POLITIK DI PERAK AKIBAT KELEMAHAN PKR DAN SPR

KEMELUT POLITIK DI PERAK AKIBAT KELEMAHAN PKR DAN SPR (perlukan satu perubahan di pihak pkr dan spr)

Dalam mengkaji kemelut politik di perak, kita patut berlapang dada dan berfikiran terbuka dan tidak sentimen terhadap parti yang kita naungi, iaitu pkr. Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak terbentuk dengan majoriti tipis iaitu 31 kerusi berbanding 28 kerusi oleh BN. Pada masa itu Tuanku Sultan tidak punya pilihan selain mengumumkan PR sebagai Kerajaan baru dengan syarat seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam dilantik sebagai MB. Walaupun DAP mendapat 18 kerusi dan PKR mendapat 12 kerusi, sesatunya calon dari PAS dilantik menjadi MB. Tuanku Sultan sendiri tidak yakin dengan calon calon Melayu di kalangan PKR. Apakah pada masa itu pimpinan PKR sendiri tidak dapat melihat sendiri kualiti yang ada dikalangan ADUN ADUN mereka?

Dalam membincangkan kualiti yang ada pada ahli ahli dan ADUN PKR, kita perlu perhatikan kembali pertama, latar belakang penubuhan PKR dan kedua faktor ikatan disiplin dalam PKR.

PKR tidak dinafikan menjadi satu wadah perjuangan parti era baru dengan corak baru yang berteraskan keadilan. Ini merangkumi keadilan untuk semua kaum, semua agama, semua taraf sosioekonomi dan sebagainya.

Berbeza dengan lain lain parti yang ditubuhkan jauh lebih lama sejak zaman kemerdekaan, seperti UMNO, PAS, MIC, DAP dan MIC dan sebagainya, mereka ini mempunyai faktor kesatuan yang lebih jelas berdasarkan bangsa seperti UMNO, MIC dan MCA dan juga agama seperti PAS. DAP juga walaupun memperjuangkan demokrasi, dimonopoli oleh kaum Cina dan lebih fokus dengan identiti Cina nya. PKR yang berteraskan keadilan tidak mempunyai faktor kesatuan sekukuh parti parti di atas. Oleh sebab itu PKR harus mencari faktor kesatuan yang lebih kuat, atau pun setidak tidaknya memperkuatkan faktor keadilan yang diperjuangkannya.

Keadilan adalah satu perkara yang sangat subjektif dan berbeza mengikut tafsiran masing masing. Rasullullah SAW sendiri mengaku tidak dapat bersikap adil kepada isteri isterinya dan telah memohon maaf kepada isteri isteri baginda tatkala baginda hampir wafat walaupun kita wajib percaya bahawa bagindalah seadil adil insan di dunia ini.

Keduanya, bila membicarakan faktor disiplin didalam parti, disiplin di kalangan ahli mahupun ADUN PKR adalah sangat lemah, kerana PKR tidak mempunyai satu wadah tarbiah yang jelas dan tetap.

PAS umpamanya mempunyai usrah yang dijalankan diperingkat cawangan. Ini dapat meningkatkan ukhwah setiakawan dan jatidiri sesama ahli. Sesekali akan dijemput ustaz atau ustazah yang akan membantu memantapkan lagi pengetahuan agama dan keimanan kepada allah yang menjadi tunggak kepada kesetiaan perjuangan. Walaupun ada juga terdapat anggota PAS yang melompat parti sebelum ini, rata rata perkara ini amat sedikit dan amat mustahil.

UMNO pula umpamanya ditarbiah dengan wang ringgit dan juga program-program bina insan dan sebagainya yang dijalankan oleh gerak gempurnya yang banyak menggunakan duit. Rata-ratanya dalam UMNO kalau ada wang semuanya boleh berlaku. Kalau duit tak turun poster yang dah dipasang pun boleh diturunkan. Business is business.

PKR tidak mempunyai kedua dua ciri ciri PAS dan UMNO tersebut. Maka jatidiri dan setia kawan di dalam PKR boleh dipersoalkan. Tambah lagi kebanyakkan ahli PKR asalnya dari UMNO. Didalam UMNO senang nak dapat duit sebab ada saja projek yang duwujudkan untuk membantu cawangan dan ketua ketua. Berebut rebut orang nak jadi ketua cawangan. Tetapi di dalam PKR, jadi ketua bahagian pun tak loaded. Kena keluar duit sendiri ada lah. Siapa tak penat kalau dah memerintah macam ADUN Jamaludin tu tapi tak boleh merasa hasil hasil pemerintah, termasuklah perempuan perempuan yang ditafsirkan sebagai rezeki yang mendatang. Dia pula tak tahu itu adalah umpan UMNO bagi memancing di negeri negeri yang perbezaan kerusi adalah kecil. Disebabkan iman yang kerdil maka termakanlah umpan itu dan apabila terperangkap kenalah dia ikut apa saja kehendak si penakluk.

Tujuan saya menulis ini bukan lah bertujuan menghentam PKR yang saya sendiri anggotai sejak dari penubuhannya pada tahun 1998. Saya melihat sejak DSAI keluar dari tahanan pada 2007, tumpuan kepada saranan DSAI sendiri semasa beliau di dalam tahanan telah dilupai dan beliau memacu laju hingga pengikutnya telah keciciran: iaitu menambahkan ahli dan menambahkan cawangan. Penambahan ahli telah menjadi faktor semulajadi sejak PR memenangi 5 negeri di dalam PRU12 lalu dan bukan melalui kempen mendapatkan ahli yang tulin yang dijalankan oleh kepimpinan parti. Penambahan keahlian yang mendadak memerlukan MT memikirkan kaedah menapis dan memperkayakan jatidiri ahli dengan lebih berkesan.

Jika dulu semasa PRU12, calon calon ADUN dan calon AP ditangkap muat saja tanpa ada prosidur pemilihan yang ketat, hingga DSAI sendiri tersilap memilih pembantu bernama Saiful, PKR patut menggunakan kelebihan mempunyai tokoh agama yang disegani kawan dan lawan iaitu Ustaz Badrulamin sebagai "tuan guru"di kalangan ahli PKR yang beragama Islam. Tokoh tokoh lain seperti Azmin Ali, dan Shaari Sungip juga patut digunakan selain boleh meminta bantuan dari sahabat di parti PAS. Sayap sayap Melayu dan Islam patut di kembangkan di peringkat akar umbi dan cawangan supaya proses mentarbiah ahli yang beragama Islam terus berjalan.

Ini bukan saja akan memastikan jatidiri Melayu dan Islam dapat dipertahankan oleh semua ahli, malah dapat menjadi asas kepada keutuhan setiakawan sesama ahli.

Manakala bangsa lain di dalam parti seperti Bangsa Cina dan India juga patut dapat mengusahakan program tarbiah dan seumpamanya supaya ahli ahli Parti yang berbangsa India dan Cina juga dapat mengemaskan jatidiri masing masing dan menguatkan ikatan setiakawan kepada parti.

Jika jatidiri ahli dan calon dapat dikukuhkan, kita akan dapat memastikan semua ahli, ADUN dan juga ahli Majlis yang menduduki kerusi Majlis Majlis Perbandaran dan Daerah (yang kini rata rata rapuh) dapat mempertahankan jatidiri dan disiplin yang tinggi.

Ramai kalangan ahli ahli Yang Berhormat samada ADUN, AP mahupun Ahli Majlis tidak dapat memainkan peranan masing-masing kerana kurang pendedahan tentang selok belok perjalanan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Jawatan jawatan kuasa di peringkat Negeri, Mesyuarat Ahli Majlis, dan kuasa serta bidang kuasa Jawatankuasa jawatankuasa Majlis Perbandaran. Program-program tarbiah dan usrah begini akan dapat memperkayakan ahli dengan ilmu duniawi mahupun ilmu akhirat yang bakal memperkkuatkan jati diri dan setiakawan ahli.

Setelah memenangi 4 negeri baru di bawah Pakatan Rakyat, ahli ahli parti kini lebih tertumpu untuk memenangi Pilihanraya Umum akan datang tanpa menumpukan kepada usaha untuk mengisi kemenangan yang insyaallah akan menyusul. Seharusnya kita perlu menitik beratkan juga usaha meningkatkan pengetahuan kita dengan proses prosoes pentadbiran dan perjalanan kerajaan negeri dan tempatan supaya kita dapat lebih bersedia di dalam menempuh Pilihanraya Umum akan datang. Tambah tambah lagi bila DSAI meniup semangat ahli ahli bahawa akan mengambilalih Kerajaan Persekutuan pada tahun 2009 ini.

Semoga Kemelut Perak 2009 ini menjadi iktibar kepada kita semua.