Friday, August 19, 2011

RAMADHAN MENGAJAK KITA MENILAI SYAHADAH


Sesungguhnya Ramadhan mengajak kita menjenguk kembali bukan sahaja tahap ibadah kita kepada Allah yang bakal menjadi bekalan kita kembali bertemuNya yang entah bila bila masa. Lebih dari itu Ramadhan mengajak kita menjenguk kembali perkara pertama di dalam Rukun Islam iaitu perkara Syahadah. Mungkin kita semua hebat di dalam amalan solat seharian mahupun Solat Sunat Tarawikh, di dalam amalan puasa samada puasa wajib dibulan Ramadhan mahupun puasa sunat di bulan Syaaban, Rejab dan seterusnya sunat 6 Syawal. Juga di dalam amalan zakat fitrah dan zakat pendapatan dan sebagainya serta amalan Haji kita tatkala kita dilimpahkan rezeki melimpah ruah oleh Allah. Dalam kita tekun menjalani ibadah puasa kita harus meneliti makna dan pengertian puasa. Syarat pertama puasa adalah "orang orang beriman" yang menuntut kita beriman kepada Allah. Andai kita tidak beriman kepada Allah sia sia lah puasa kita kerana hanya amalan orang orang yang beriman dengan seikhlasnya sahaja yang boleh menerbitkan takwa, iaitu matlamat puasa.

Maka seharusnyalah di Ramadhan ini kita membuat penyerahan sebulat bulatnya kepada Allah. Tiada satu pun daya dan upaya kita semuanya disandarkan kepada Allah. Maka hanya kepadanyalah kita sandarkan ajal, maut, jodoh, nasib dan rezeki dan bukan kepada makhluk yang juga diciptaNya. Namun masih terdapat segelintir umat Muhammad ini yang masih memohon bantuan makhluk makhluk halus untuk mendatangkan mudarat kepada sesama manusia di siang hari mahupun di malam hari yang sepatutnya digunakan untuk beribadah kepada Allah. Sesungguhnya dalam bulan ramadhan ini telah dibuka semua pintu pintu syurga dan ditutup semua pintu pintu neraka dan dibelenggu iblis dan syaitan. Tetapi hawa nafsu dan jin termasuk jin jin kafir seperti mana manusia tetap bebas. Maka bermaharajalela lah manusia menggantikan syaitan dan iblis yang terbelenggu.

Sesungguhnya iblis dan syaitan menyesatkan manusia dengan merosakkan syahadah manusia agar mengikut jalannya. Jika di bulan lain manusia sanggup bertemankan syaitan maka apalah sebulan ramadhan ini. Sudah well trained. Di bulan ramadhan manusia tidak terkecuali mengenakan ilmu sihir dan bomoh terhadap insan yang dibenci. Nauzubillah. Maka tidak hairan lah ada manusia yang berserban tebal dan bertudung labuh tapi menjadi teman syaitan dan rosak akidah. Mereka percaya qadar dan qadar terletak ditangan bomoh. Bodohnya manusia, duit sudah beribu ribu habis kerana percayakan janji janji bomoh. Lupa dia bahawa hanya allah yang boleh memberi kesan terhadap sesuatu. Segala bomoh jawa, melayu, orang asli dan siam digunakan bagi mencapai hajat. Hanya Allah yang boleh menunaikan hajat. Tetapi ini tidak menghairankan kerana manusia manusia ini tidak dijanjikan syurga oleh Allah sepertimana para Nabi dan sahabat.

Diakhir zaman ini ramai ulama yang sesat lagi menyesatkan dan berselindung disebalik jubah dan serban serta tudung. Gejala bersahabat dengan bomoh ini telah menebal di dalam masyarakat kita tatkala hati sakit kerana perkara perkara tertentu walau pun negara ini menuju menjadi sebuah negara yang maju dan moden. Maka sahabat sahabat ku sekelian, dalam kita meningkatkan amalan ibadah kita dibulan Ramadhan ini semak lah semula syahadah kita agar segala amalan kita tidak sia sia dan agar kita tidak menjadi tentera syaitan dan iblis. Bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan. Redha adalah ubat keresahan hati. Memberi maaf kepada yang bersalah juga ubat hati dan ubat masyarakat. Berlapang dadalah menerima sesuatu kejadian bahawa ia adalah qada dan qadar Allah. Akhir sebuah jodoh dan rezeki juga adalah sebuah ketetapan Allah bukan kerja makhluk.

Sedarlah bahawa kita semua akan kembali kepada Nya dan passport kita adalah syahadah manakala Green Lane kita barulah solat dan amalan. Pada hari ini aku redha Islam sebagai agama disisiKu dan masuklah Islam dengan sepenuhnya.

Wassalam.

No comments: